Tuesday, April 15, 2008

10 perkahwinan paling sensasi di malaysia

1.Perkahwinan Yang Paling Ditunggu Ramai

Siti Nurhaliza & Datuk Khalid Mohamed Jiwa (21-08-2006)

Majlis perkahwinan Siti Nurhaliza Taruddin merupakan perkahwinan yang
paling ditunggu oleh seluruh rakyat Malaysia. Siti mula memberi isyarat
kepada umum bahawa hatinya sudah berpunya ketika menerima Anugerah Bintang
Popular 2005 dengan ucapan, "Ini merupakan hadiah kepada peminat, terima
kasih kepada teman-teman seperjuangan dan juga orang yang saya sayangi".

Makan hati seluruh jejaka Malaya apabila mendapat tahu Siti memilih lelaki
yang jauh lebih matang dengan misai lebat di bibir! Mulalah ramai lelaki
yang menanam misai dengan harapan dapat memikat gadis-gadis yang ayu macam
Siti. Kata Siti, dia suka cara Datuk K melayan anak-anak. Nampaknya skill
pandai melayan anak juga boleh digunakan sebagai taktik memikat hati
wanita. Sudah setahun lebih berumahtangga, Siti dan Datuk K masih mendapat
perhatian peminat dan media hingga ke hari ini.

2. Perkahwinan Yang Diserbu Tetamu Tidak Diundang Paling Ramai

Ziana Zain & Armin Zaharin (2-5-1998)

Artis berpinggang kerengga ini cukup top pada tahun 90-an dengan lagu-lagu
bernada tinggi serta diketahui umum sebagai gadis pujaan hati Azwan Ali.
Pertunangan Ziana dengan seorang kakitangan MAS tidak dapat dihidu wartawan
tetapi apabila dia diijabkabulkan dengan Armin Zaharin di rumah ibubapanya
di Subang, majlis perkahwinan Ziana telah diserbu oleh 15,000 peminat yang
tidak diundang.

Dikhabarkan, bapa Ziana, Pak Zain yang terkenal dengan sifatnya yang baik
hati, telah memesan dua lori nasi minyak untuk menampung tetamu yang begitu
ramai. Pandai betul Pak Zain cari syarikat yang boleh hantar nasi minyak
pakai lori. Perkahwinan beliau juga telah menyebabkan Ogy dan rancangan
Melodi disaman Azwan Ali berikutan komen Ogy yang mengatakan Azwan makan
hati sengsorang kerana Ziana sudah bernikah. Ziana dikurnia dua orang anak
lelaki bersama Armin dan kekal sehingga ke hari ini.

3. Perkahwinan Ditaja Paling Singkat

Erra Fazira & Yusry (15-3-2003)

Erra Fazira merupakan pelakon handalan cantik jelita dan Yusry KRU pula
ialah seorang artis lelaki kacak bergaya serta kaya. Apabila kedua
selebriti ini memutuskan untuk mendirikan rumahtangga, begitu ramai pihak
yang mahu menaja kerana pasti perkahwinan ini akan mendapat coverage luar
biasa.

Tekaan pihak penaja tepat sekali apabila perkahwinan Erra dan Yusry
merangkul takhta Wedding of the Year 2003 apabila majlis perkahwinannya
dibuat secara besar-besaran di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Run Razak
Kuala Lumpur dan dihadiri oleh 10,000 peminat. Nak tambah glamor, kedua
mempelai guna banyak angka tiga seperti nikah pada 15-3-03, wang hantaran
bernilai 33,333.33, entourage pihak lelaki seramai 33 orang dan mereka kena
datang pukul 3.30 petang. Malangnya, pasangan Erra dan Yusry mampu bertahan
selama tiga tahun sahaja dan bercerai pada 16-6-06.

4. Perkahwinan Yang Mempunyai Hantaran Paling Tinggi

Mazuin Hamzah & Pengiran Sufri (11-12-1987)

Kisah cinta penyanyi dan pemain drum kumpulan Quinary M yang kecil molek
bernama Mazuin Hamzah, umpama kisah dongeng Cinderella yang dilamar putera
raja. Pertemuan pertama Mazuin dengan Pengiran Sufri berlaku pada tahun
1987 dan dalam tahun yang sama, Mazuin menggemparkan Malaysia apabila
dipinang oleh Pengiran Muda Sufri Bolkiah dengan hantaran bernilai satu
juta ringgit.

Tak kiralah bagaimana rupa paras bakal suami atau perangainya, dilamar oleh
putera raja dari golongan keluarga diraja paling kaya di dunia, tak rasa
nak kahwin pun tiba-tiba jadi rasa. Pada 11 Disember 1987, mereka
disatukan secara gilang gemilang di Brunei selepas berbulan-bulan
persediaan dilakukan oleh pihak istana. Selepas berkahwin, Mazuin diberi
gelaran Pengiran Bini Mazuin dan tinggal di istana. Namun selepas 17 tahun
bersama, pasangan ini bercerai dan Mazuin hanya membawa gelaran Hajah
Mazuin binti Hamzah sahaja.

5. Perkahwinan Duda Malaysia Paling Laku

M. Nasir & Marlia Musa (31-08-2000)

Komposer dan penyanyi terkenal M. Nasir ialah jenis lelaki semakin tua
semakin menarik. Walaupun beliau seorang duda beranak lima, faktor ini
tidak menjadi halangan untuk dirinya digilai oleh ramai wanita Malaysia
daripada pelbagai lapisan umur. Pada 31 Ogos 2000, beliau memilih untuk
bernikah dengan pelakon popular Marlia Musa yang membuat ramai wanita
ternganga tidak percaya.

Menurut Marlia, M. Nasir merupakan cinta pertamanya dan bagi M. Nasir,
Marlia merupakan wanita yang boleh mengisi kekosongan hidupnya dan
anak-anak.''Saya suka sesuatu perkara misalnya sejenis kain dan dia
(Marlia) ada kain itu," kiasan yang sukar dimengerti oleh orang biasa.
Marlia disunting dengan mas kahwin berupa tiga belas keping wang dinar
bernilai RM2,000 termasuk lima anak segera daripada perkahwinan M.Nasir
yang sebelumnya.

6. Perkahwinan Tutup Kontroversi

Linda Rafar & Keifli (1-5-1999) vs Edry & Milia Mohamad (5-11-1999)

Linda Rafar, penyanyi kumpulan ala-ala Spice Girls Malaysia yang berada di
bawah naungan KRU Records pernah mempunyai hubungan cinta dengan Edry KRU,
adik paling bongsu kumpulan tiga beradik KRU. Pada tahun 1999, 11 gambar
bogel dengan aksi-aksi lucah yang begitu mirip kepada mereka berdua telah
terpampang di Internet. Sejurus selepas kontroversi itu tercetus, Linda dan
Edry menutup cakap-cakap orang dan kontroversi yang melanda dengan bernikah
dengan pasangan masing-masing.

Linda Rafar bernikah dengan pemandu go-kart kebangsaan, Keifli Datuk Othman
pada 1 Mei 1999 manakala Edry pula bernikah dengan Milia Mohamad,
setiausaha kepada abangnya Norman pada 5 November 1999. Perkahwinan Linda
Rafar dengan Keifli mampu bertahan selama lima tahun sahaja setelah
mendapat dua orang hero dan mereka bercerai talak satu pada 5 Ogos 2004.
Edry pula baru sahaja menimang cahayamata ketiga pada 15 Mei 2007.

7. Perkahwinan Yang Mengetepikan Wartawan Hiburan

Natasha Hudson & Datuk Shahrin Zahari (4-08-2007)

Natasha Hudson, model terkenal kacukan Melayu-Indonesia-Australia, tidak
putus dilanda pelbagai serangan gosip tabloid apabila beliau menamatkan
perkahwinannya dengan Mohd Faiz Mohd Raih, seorang anak Datuk yang hanya
bertahan selama lima bulan sahaja. Pada 4 Ogos 2007, sekali lagi Natasha
menggemparkan dunia hiburan apabila perkahwinannya dengan Datuk Shahrin
Zahari, Pengarah Eksekutf Verti Global yang diadakan di Carcosa Seri Negara
tidak membenarkan wartawan hiburan masuk untuk membuat liputan.

Alasan yang diberi ialah takut nak jemput ramai tak cukup nasi. Ramai
wartawan yang hadir kecewa dengan sikap Natasha kerana wartawan datang nak
buat liputan, bukan nak makan nasi. Akibat peristiwa itu, wartawan hiburan
secara sebulat suara telah memboikot Natasha. Walaupun Natasha sedih kerana
disisihkan kerana pendiriannya tentang hal peribadi, dia telah pun selamat
bernikah dan jelas sekali pilihan Natasha ialah seorang Datuk sebagai
pasangan hidupnya dan bukan sekadar anak Datuk.

8. Perkahwinan Mengubat Hati Luka

Ina Naim & Suhaimi (12-8-07)

Nor Diana Naim pernah bertunang dengan Mawi, penyanyi tersohor Malaysia
sebelum Mawi dijulang sebagai juara Akademi Fantasia ke-3 lagi. Selepas
memenangi AF, ramai yang tak sabar-sabar nak tahu siapa tunang Mawi.
Mula-mula Ina hanya low profile tetapi apabila Ina berdepan dengan keadaan
perhubungan yang semaking meruncing, Ina mendapat liputan meluas daripada
wartawan hiburan.

Tidak lama kemudian, hubungan pasangan ini terputus dan bertitik tolak
daripada kegagalan cintanya dengan Mawi, Ina semakin agresif dengan buku
tulisannya dan pembabitannya dalam dunia muzik dengan terhasilnya album
sulung beliau yang berjudul "Duhai Hati". Pada bulan Jun, dunia hiburan
dikejutkan dengan berita Ina Naim bertunang dengan bekas ahli kumpulan
nasyid In-Team, Mohd Suhaimi Saad dan dinikahkan dua bulan selepas itu pada
12 Ogos 2007. Kalau nak dinamakan jodoh, tak dapat yang paling popular,
yang popular sikit pun jadilah.

9. Perkahwinan Menggunakan Angka Sama Paling Banyak

Eizlan Yusof & Vie Shantie Harun Khan (7-7-07)

Apa ada pada nombor? Nampaknya jika anda seorang artis yang mahu berkahwin,
nombor yang dipilih kenalah cantik dan unik, barulah ada style! Bagi
pasangan pelakon kacak popular, Eizlan Yusof dan model cantik, Vie Shanti
Harun Khan, angka tujuh merupakan sejarah bagi diri mereka berdua. Eizlan
bernikah pada 7 Julai 2007 (7-7-07) setelah mula berkenalan pada 7 Julai
tahun sebelumnya.

Eizlan dan Vie dua-dua lahir pada bulan 7, jumlah wang hantaran Eizlan
kepada model sambilan ini berjumlah RM77,777.77 yang diiringi 7 dulang
barangan. Beliau juga berharap anaknya dilahirkan dalam bulan tujuh juga.
Untuk mereka yang ingin mendirikan rumahtangga pada tahun hadapan,
cepat-cepat tempah tok kadi pda 8-8-08 supaya rumahtangga anda 'ong'
selamanya. Kalau tak dapat tarikh tersebut, 18-8-8 atau 28-8-8 juga
cantik.

10. Perkahwinan Dengan Hantaran Paling Istimewa

Erra Fazira dan Engku Emran 25-10-2007

Erra Fazira sekali lagi masuk senarai dengan menamatkan zaman jandanya
dengan Ketua Pengarah Operasi Suria FM, Engku Emran pada 25 October 2007
lalu. Erra membuat keputusan untuk memilih Emran selepas kononnya berlaku
adegan tumbuk menumbuk antara Hans dan Emran di rumah Erra beberapa minggu
sebelum itu. Walaupun Emran dikatakan sakit ditumbuk, Hans sakit lagi teruk
apabila Erra memilih Emran untuk menjadi suami.

Erra membuat pengumuman bahawa bukan harta yang dicarinya tetapi cinta dan
kasih sayang, lantas dia hanya mahukan senaskah Al-Quran sebagai hantaran.
Untunglah Emran dapat isteri yang bukan sahaja cantik malah baik dan
merendah diri. Majlis perkahwinan Erra kali ini dibuat secara sederhana di
kalangan keluarga dan teman-teman, bekas suami juga dijemput tetapi Yusry
tentu sekali ada komitment lain ketika itu.

1 comment:

AZIZAN & HAFIZAH said...

Dapatkan panduan bina otot badan bagi lelaki supaya anda lebih tough dan macho....